AKU merupakan ‘mat motor’ dan pernah terlibat dengan
aktiviti ini tapi tidak terlalu estrem sehinggakan menganggu persekitran. Cuma
minat terhadap kenderaan dua tayar ini sahaja. Jika apa yang aku lakukan
seperti berlumba, melakukan aksi bahaya dan pelbagai gelagat di luar norma
penunggang motosikal yang normal itu dikatakan lagak ‘mat rempit’, maka wajar aku
digelar ‘mat rempit’. Dan aku tidak bangga pun akan gelaran tersebut. Pengalaman
sejak bangku persekolahan ini membuatkan aku lebih kenal dunia ‘mat rempit’
yang heboh diperkatakan sekarang. Jika dibaca, dilihat dan didengar, ‘mat
rempit’ adalah remaja yang jahat, memberontak, seks bebas, mempertaruhkan
perempuan sebagai hadiah perlumbaan haram, curi motor, bergaduh, peminum arak,
salah guna dadah dan pelbagai lagi perangai liar. Simptom mat rempit sebenarnya
telah wujud sejak tahun 1970-an hingga sekarang. Perbezaannya adalah cara
merempit mengikut perkembangan zaman. Malah kepesatan ekonomi dan pemodenan
juga menyumbang kepada perubahan gejala rempit. Dengan sebuah motosikal boleh
dibeli dengan membayar deposit semurah RM200 dan penurunan taraf penggunaan
motosikal sebagai alat pengangkutan pilihan kedua kerana lambakan kereta yang
murah di pasaran juga menjadi faktor penyumbang. Jika dulu anak-anak muda
bergerak dengan berjalan kaki dan menaiki bas, sekarang mereka bebas ke
mana-mana sama ada menunggang motosikal sendiri atau motosikal kepunyaan ayah. Jika
dahulu aktiviti mereka hanya dalam lingkungan satu kilometer dari rumah, kini
mereka boleh bergerak melebihi 20 kilometer.
Atas pelbagai alasan termasuk kebosanan dan pengaruh
rakan sebaya, pada malam minggu sahaja dianggarkan lebih 500 hingga 1,000 mat
rempit berkeliaran di sekitar ibukota Kuala Lumpur. Ternyata gejala rempit
sekarang menjadi cara hidup remaja masa kini.Lihat sahaja laman sosial.
Rata-rata remaja bersekolah atau pun berusia awal 20-an menjadikan rempit
sebagai cara hidup dan ikutan untuk menjadi lebih cool tanpa mengetahui
implikasi buruk di sebaliknya.
Kumpulan-kumpulan mat rempit baru tumbuh bagaikan
cendawan. Majoriti berumur 13 tahun hingga hujung 20-an. Jika semuanya
ditangkap, disabitkan kesalahan dan dihukum, mereka bakal menjadi banduan.
Adakah kita mahu bekas-bekas banduan menggantikan tempat kita?
Dalam kita sibuk menuding jari dan menuntut hukuman
yang lebih tegas, fikirkanlah adakah pernah kita mendidik anak-anak kita tentang
gejala buruk rempit ini? Di sekolah ada kempen keselamatan jalan raya, tapi
berapa ramaikah pelajar yang benar-benar dilibatkan di seluruh negara? Sesekali
apabila melihat mat rempit mengangkat tayar hadapan atau berdiri di atas
motosikal ketika motosikal sedang bergerak di jalan awam, pasti gelagat mereka
dipandang dengan penuh rasa benci. Tetapi tahukah kita bahawa di luar negara,
aksi yang memerlukan skil yang tinggi itu juga menjadi kegilaan ‘mat motor’ di
sana.
Namun aksi tersebut yang dipanggil stunt dialihkan
dari jalan awam ke lokasi khas sama ada kawasan parkir atau kawasan lapang jauh
dari jalan awam untuk dijadikan tontonan penonton.
Aktiviti tersebut yang dipantau dan dikawal dapat
dikomersialkan sebagai pertunjukan motosikal sama ada bertaraf tempatan mahupun
dunia. Kenapa kita di Malaysia tidak boleh menyediakan lokasi dan kemudahan
lain bagi aktiviti seumpama itu. Mat rempit suka aksi mereka ditonton orang
lain, maka jalan raya awam menjadi tumpuan mereka kerana terdapat penonton. Wajar
kita menyediakan prasarana khas untuk mereka beraksi tanpa gangguan pihak
berkuasa dan tanpa mengganggu orang lain. Tentulah tidak semua mat rempit akan
menggunakan prasarana khas yang disediakan untuk mereka, tapi majoriti akan ke
sana. Hanya ‘mat rempit tegar’ sahaja akan terus beraksi di jalan raya awam.
Disebabkan bilangan mereka tidak ramai, pasti lebih
mudah bagi pihak berkuasa untuk membanteras mat rempit tegar ini. Secara tidak langsung, prasarana yang disediakan dapat
mengasingkan ‘mat rempit tegar’ dan ‘mat rempit tidak tegar’. Aku amat bersetuju jika ‘mat rempit tegar’ itu digelar
‘mat bodoh’ kerana setelah diberi pendidikan dan peluang untuk beraksi secara
sihat dan selamat, mereka masih tidak menggunakan akal untuk berubah.
Apa pun, mereka hanyalah sekadar anak-anak muda yang
melakukan kesalahan trafik. Jika disabitkan kesalahan dan selesai menjalani
hukuman, mereka mestilah diberikan bimbingan melalui motivasi dan kaunseling. Jika tidak, mereka akan terus terawang-awang dalam
mencari hala tuju dan akhirnya kembali ke kegiatan lama. Malah dikhuatiri mereka yang telah menjalani hukuman
tapi tidak berubah, akhirnya akan menjadi lebih ekstrem dan ganas.
Kesimpulannya, kita tidak boleh hanya menghukum, tapi
mestilah mendidik di sekolah dan melalui kempen serta ceramah. Kita mestilah menyediakan prasarana dan mengatur
program untuk mereka. Kita juga hendaklah menyediakan program pemulihan selepas
hukuman dalam bentuk motivasi dan kaunseling untuk membentuk sahsiah diri dan kesedaran dalam kalangan golongan yang terlibat.
No comments:
Post a Comment